arena

Penalti Safiq julang Melaka

Oleh Syazwan Msar

SHAH ALAM: Jaringan tunggal bekas pemain Johor Darul Ta’zim Safiq Rahim memastikan Melaka United (MU) membawa pulang tiga mata penting selepas menewaskan PKNS 1-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Jaringan terbabit yang terhasil menerusi sepakan penalti selepas pemain import MU Patrick Reichelt dijatuhkan oleh pertahanan tuan rumah Rodney Celvin Akwensivie pada minit 22.

Babak awal perlawanan agak ‘membosankan’ apabila kedua-dua pasukan kurang melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Hanya tiga serangan dilakukan skuad bimbangan Datuk K Rajagobal ke kubu lawan namun berjaya dinafikan penjaga gol MU Khairul Fahmi Che Mat.

Manakala pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan pula dilihat seperti kurang menjadi apabila banyak peluang yang terhidang disia-siakan sekali gus memberi peluang kepada tuan rumah untuk melakukan serangan balas.

Sebaik wisel separuh masa kedua ditiup, kedua-dua pasukan mula bermain lebih agresif dengan masing-masing melakukan serangan ke kubu lawan.

Namun, permainan agresif yang ditunjukkan PKNS dan MU gagal diterjemahkan menerusi gol malah dilihat lebih banyak melakukan kekasaran hingga dua pemain terpaksa diusung keluar untuk mendapatkan rawatan.

Skuad Hijau Putih itu melakukan sekurang-kurangnya tiga pertukaran pemain bagi memantapkan serangan pada separuh kedua namun hanya tiga percubaan merbahaya mampu dihasilkan.

Manakala PKNS pula seperti hilang arah apabila serangan yang direncanakan gagal disudahkan dengan jaringan gol.

Keputusan kekal hingga tamat perlawanan.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 11:34pm
d