arena

Arsenal temui semula rentak kemenangan

Oleh Reuters

LONDON: Arsenal kembali menemui rentak kemenangan apabila menumpaskan pasukan tercorot, Huddersfield Town 2-1 awal pagi hari ini, namun kekal satu-satunya pasukan tanpa rekod bersih di laman lawan dalam aksi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Arsenal mengalami empat kekalahan daripada sembilan perlawanan liga, termasuk tewas 1-3 kepada Manchester City minggu lalu, namun Alex Iwobi meletakkan mereka di depan pada minit ke-16.

Huddersfield terus mengasak namun gagal memberi tekanan ke gawang Arsenal pada separuh masa pertama dan perbezaan kualiti kedua-dua pasukan terbukti apabila pasukan pelawat menggandakan jaringan menerusi gol liga ke-10 Alexandre Lacazette musim ini seminit sebelum tamat separuh masa pertama.

Adama Diakhaby mempunyai dua peluang terbaik untuk membawa Huddersfield - yang hanya seri sekali dan tewas 11 perlawanan daripada 12 aksi terakhir mereka, namun gagal memberi ancaman kepada penjaga gol Arsenal Bernd Leno.

Sead Kolasinac menjaringkan gol ke gawang sendiri untuk memberi harapan saat akhir buat Huddersfield, sekali gus gol pertama buat pasukan itu dalam tempoh sembilan jam bagi semua kejohanan, namun pasukan pelawat berhasil memuktamadkan kemenangan.

Kemenangan itu membolehkan Arsenal berkongsi mata dengan Chelsea di tangga kelima, yang akan menentang Manchesrer City malam ini.

Huddersfield pula kekal di tangga tercorot, 13 mata daripada zon selamat.

Sementara itu jaringan Kenneth Zohore pada minit terakhir memastikan kemenangan Cardiff City ke atas Southampton 2-1.

Ia hari penuh emosi buat Cardiff susulan penemuan mayat Emiliano Sala, yang terkorban dalam nahas pesawat yang terhempas ketika membawanya untuk menyertai kelab Wales itu daripada kelab Ligue 1, Nantes.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 1:45am
d