arena

'Kami mampu menang liga'

Oleh Agensi

MOUSSA Sissoko percaya Tottenham boleh mengakhiri kemarau trofi dengan memenangi Liga Perdana Inggeris.

Pasukan bimbingan Mauricio Pochettino akan layan kunjungan di Leicester di Wembley hari ini.

“Jika orang mahu bercakap mengenai Liverpool dan Manchester City itu adalah perkara baik buat kami,” kata pemain tengah Perancis itu.

“Pada saya, saya lebih selesa begitu. Ini bermakna kami boleh tumpu kepada kerja kami. Kami akan bersaing sehingga ke hujung musim dan apapun boleh berlaku.

“Dan betul, saya fikir kami boleh menang gelaran liga kerana mempunyai pasukan yang baik.

“Ada 13 perlawanan lagi untuk menamatkan saingan liga dan masih ada lagi peluang memperolehi mata. Namun setiap perlawanan adalah sukar dan kami berharap dapat memenangi semua baki perlawanan.”

Kali terakhir Spurs memenangi trofi adalah dalam saingan Piala Liga ketika di bawah bimbingan Juande Ramos pada tahun 2008.

Spurs semestinya masih bersaing dalam perebutan juara liga dengan tiga kemenangan perlawanan akhir mereka namun ketiadaan beberapa tonggak seperti Harry Kane dan Dele Alli berikutan kecederaan sedikit menjejaskan rentak pasukan itu.

Pasukan itu juga bersaing dalam kempen Liga Juara-Juara dalam aksi pertama 16 pasukan terakhir melayan kunjungan Borussia Dortmund pada 14 Februari ini.

“Kita dapat lihat, kami berada tidak jauh daripada memenangi sesuatu,” kata Sissoko.

“Ada sedikit perkara kecil berkaitan yang mungkin kami tertinggal. Apa perkara itu? Saya sendiri tidak tahu tetapi kami perlu cari jalan penyelesaiannya.

“Saya fikir kami layak, kami mempunyai pasukan yang boleh melakukan kejutan. Semua di sini mahu kemenangan dan kami hanya perlu bekerja dan berjuang. Itu sahaja caranya.”

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 2:11pm
d