arena

JDT II buat UKM kecewa

Oleh Rizar Mohd Noor

JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Ervin Boban jelas lega dengan kemenangan pasukan itu ke atas UKM FC 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, malam tadi.

Menurut Boban, komitmen tinggi ditunjukkan setiap pemain pada perlawanan itu wajar dipuji selepas beraksi cemerlang untuk menewaskan naib juara Piala Cabaran musim lalu.

"Kami hampir kehilangan mata penuh selepas skuad kendalian Sulaiman Hussin nyaris menyamakan kedudukan pada minit-minit akhir perlawanan,” katanya.

“Mujurlah kecekapan penjaga gol, Mohd Haziq (Nadzli) pantas menutup ruang dan mengelak gawang dibolosi pada minit akhir perlawanan dan saya kagum dengan kesemua pemain yang beraksi dalam perlawanan itu kerana mereka memberikan persembahan cukup cemerlang.

"Seperti yang saya katakan musim lalu, ia berulang musim ini apabila setiap perlawanan diharungi JDT II amat sukar dan anda sendiri lihat bagaimana UKM FC memberi tentangan sengit namun mereka tidak bernasib baik apabila tewas dalam aksi itu.

"Kehadiran semula Nicolas (Fernandez) menguatkan posisi tengah yang jelas dikuasai kami dan dia akan terus berada dalam skuad JDT II untuk aksi seterusnya menentang Perlis," katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman mengakui agak kecewa dengan keputusan pengadil, Abang Azharudin Abdullah selepas melayangkan kad merah kepada kapten, Mohd Akmal Md Zahir kerana didakwa mengasari Mohammed Ghaddar pada penghujung babak kedua.

Katanya, pengadil perlawanan sepatutnya melihat insiden itu lebih jelas kerana aksi tampak begitu rancak dan agak pelik keputusan dibuat selepas mendapat pandangan pembantu pengadil kedua, Mohd Khairul Nizam Radzali.

"Keputusan itu menjejaskan rentak permainan namun apa kami boleh buat kerana keputusan pengadil muktamad dan kami tetap meneruskan perlawanan dengan 10 pemain sepanjang babak kedua dan hampir mencatat keputusan seri pada saat-saat akhir.

"Kami menentang pasukan dibarisi pemain berpengalaman namun kami sudah cuba sedaya upaya untuk mengimbangi kekuatan pasukan itu, kami terpaksa terima hakikat tewas pada aksi berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 6:17pm
d