arena

Enjin TFCII belum 'panas'

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Walaupun berjaya mencatat dua kemenangan berturut-turut, ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki segera jika mahu terus melakar kejayaan.

Selain itu, bekas pemain kebangsaan itu juga menyatakan 'enjin’ pasukannya belum 'panas’ sepenuhnya membuatkan anak buahnya belum benar-benar serasi dan mantap.

“Setakat ini pasukan kami belum mantap lagi dan masih banyak yang perlu diperbaiki lagi lebih-lebih lagi pada aksi pramusim baru-baru ini saya tidak berpeluang mencuba kesebelasan utama atas beberapa faktor.

"Bagaimanapun saya tidak mahu alasan itu mengganggu rentak permainan mereka sebaliknya saya ingatkan pemain tiada istilah pilih kasih buat mereka yang gagal mempamerkan aksi terbaik.

“Malah mereka mungkin akan terus menghuni bangku simpanan jika masih belum mampu meningkatkan prestasi selepas beberapa perlawanan,” ujar Tengku Hazman.

Pada aksi kedua Jumaat lalu, skuad The Turtles itu hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 menundukkan Selangor United di laman sendiri, sebelum itu pada aksi pertama di tempat lawan menentang Pulau Pinang mereka menang 3-2.

Mengulas pertemuan dengan Sabah Sabtu ini, beliau mengesa anak buahnya mengubah corak daripada permainan agak statik kepada agresif selain perlu lebih banyak mencipta peluang untuk menghasilkan jaringan.

"Kombinasi jentera tengah harus main peranan lebih baik dengan melakukan hantaran berkualiti kepada barisan serangan dalam misi meneruskan rentak kemenangan,” katanya.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 6:36pm
d