arena

Kalaulah padang tak becak...

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Pengendali Selangor, B Sathianathan percaya jika keadaan padang di Stadium Petaling Jaya tidak becak, skuad kendaliannya mampu meraih keputusan lebih baik dalam aksi kedua Liga Super bertemu Petaling Jaya City (PJ City) malam tadi.

Dalam aksi itu, skuad Red Giants diikat 1-1 dan nyaris diaibkan apabila terpaksa bangkit dihujung permainan menerusi gol penyamaan Rufino Segovia menerusi sepakan penalti selepas tuan rumah mendahului pada minit ke-80 juga hasil gol penalti yang disempurnakan Pedro Henrique.

"Pemain saya agak bergelut di atas padang becak yang tentunya menyukarkan pergerakan. Bukan saja Selangor, tapi PJ City juga mengalami situasi yang sama.

"Namun saya berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan pemain walaupun sedar bukan mudah bermain di atas padang yang sebegini.

"Kalau padang lebih baik dan tidak becak, saya rasa kita boleh meraih keputusan positif. Tapi ada juga beberapa kelemahan yang perlu kita atasi, apa yang kita nampak adalah kita gopoh di depan gol. Banyak hantaran-hantaran lintang yang tidak disambut,” kata bekas ketua jurulatih skuad Harimau Malaya itu.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai prestasi tonggak importnya, Antonio German yang dicemuh oleh penyokong setia Merah Kuning susulan aksi hambar pemain itu, beliau masih memberikan peluang buat German untuk mempamerkan aksi sebenarnya.

“Dia pemain yang ada kaliber, cuma keadaan padang mungkin sedikit sebanyak menjejaskan aksinya di atas padang. Malah, ketika perlawanan pertama menentang FELDA United pula, dia mengalami bisul di kakinya.

"Sebab itu pergerakan dia sikit terbatas tetapi tetap berjaya menyumbang gol ketika seri (1-1) dengan FELDA," katanya yang turut berharap Segovia segera menemui sentuhan pemusnahnya dalam aksi selepas ini.

Selangor kini mengumpul dua mata daripada dua aksi yang dilalui setakat ini dan berada di tangga kelima di belakang Pahang yang muncul pendahulu liga dengan enam mata.

Selepas ini, bekas juara liga sebanyak enam kali itu dijadualkan berdepan PKNS FC di Stadium Shah Alam, 17 Februari ini.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 7:30pm
d