arena

Apa nasib Walsh?

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Teka-teki berhubung masa depan Terry Walsh selaku Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bakal terjawab Selasa ini menerusi satu sidang media yang akan dilakukan oleh badan induk itu.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pada sidang media itu beliau akan menjelaskan segala-galanya termasuk apakah nasib Walsh yang sebelum ini dilaporkan bakal meninggalkan badan induk itu.

Namun Subahan seolah memberi bayangan pakar dari Australia itu akan kekal di Malaysia tetapi dengan tugasan berbeza.

"Ada sidang media pada Selasa ini untuk semua persoalan mengenai MHC, liga dan juga isu Walsh.

"Tugasan Walsh yang baru untuk membantu dalam (aspek) pembangunan," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan khabar angin Walsh bakal meninggalkan badan induk itu kerana MHC dan Majlis Sukan Negara (MSN) dikatakan mempunyai masalah kewangan untuk membayar gajinya selepas melantik ketua jurulatih skuad hoki lelaki yang baru, Roelant Oltmans.

Walsh dilantik pada 2015 dengan tugasan membantu Malaysia terutama skuad lelaki negara layak beraksi pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Difahamkan bekas ketua jurulatih skuad negara, Tai Beng Hai bakal menggantikan tempat Walsh.

Masa depan Walsh mula menjadi perdebatan sejak Oltmans dilantik selaku ketua jurulatih skuad lelaki Oktober tahun lalu menggantikan Stephen Van Huizen.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 8:52pm
d