arena

Buang jambang pulak...

Oleh Agensi

PEMINAT Liverpool pastinya akan memandang dua kali, setiap kali wira mereka yang seorang ini turun ke padang.

Mana tidaknya, Mohamed Salah kini kelihatan lebih muda selepas mencukur misai dan jambangnya hari ini, sedia menggalas tugasan kelab itu pada aksi seterusnya.

Bintang Mesir itu memilih untuk mengorbankan misai dan jambang yang menjadi identitinya sebaik The Reds kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris semalam.

Salah pernah tampil tanpa jambang ketika bersama Chelsea, sebelum berkelana ke Eropah bersama Roma dan kini cemerlang di Liverpool.

Namun, apa yang diharapkan peminat, imej baharu itu tidak menjejaskan aksi hebatnya di padang, apatah lagi pengendali kelab, Juergen Klopp mahu terus kekal berada di puncak dan mengetepikan cabaran Manchester City.

Salah menerusi media sosialnya menunjukkan imej baharunya, menerusi swafoto di dalam keretanya ketika dalam perjalanan menuju latihan.

Penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris itu menunjukkan riak terkejut, seperti ditunjukkan menerusi imej baharunya itu.

Rakan sepasukan Salah segera memberi respons, dengan Alex Oxlade-Chamberlain hanya membalas dengan berkata ‘Mengapa?’

Rakan baik Salah dan juga rakan sepasukan, Dejan Lovren turut merebut peluang itu untuk berjenaka, bergambar dengan pemain Mesir itu dengan kapsyen: “Mo sudah tiada, jadi saya ada kawan baharu. Selamat datang Hamed Mahrous Ghaly. Saya sukakannya.”

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 10:44pm
d