arena

Chelsea mangsa amukan City

Oleh Agensi

MANCHESTER: Sergio Aguero meledak hatrik ketika Manchester City melaungkan amaran terbesar dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan membelasah Chelsea 6-0, awal pagi tadi.

Kemenangan penuh bergaya itu membolehkan skuad kendalian Pep Guardiola merampas kembali takhta liga daripada Liverpool menerusi perbezaan jaringan dengan empat daripada enam gol yang dijaringkan di Etihad diledakkan pada babak pertama.

Selepas Raheem Sterling meledak gol pembukaan seawal minit keempat, Aguero berpeluang menggandakan kelebihan tuan rumah empat minit kemudian tetapi rembatannya sedikit tersasar.

Begitupun, penyerang Argentina itu tidak mensia-siakan peluang untuk membuka akaun jaringannya pada minit ke-13 selepas mendapat hantaran baik Oleksandr Zinchenko.

Dia kemudian meledak gol kedua peribadinya enam minit kemudian apabila memanfaat sepenuhnya kesilapan Ross Barkley yang menanduk bola ke belakang sebelum penjaga gol termahal dunia, Kepa Arrizabalaga sekali lagi tertewas menerusi rembatan jarak jauh menarik Ilkay Gundogan pada minit ke-25.

Ketika Chelsea melancarkan serangan bertali arus pada babak kedua, gawang mereka sekali lagi dibolosi pada minit ke-56 menerusi penalti yang disempurnakan Aguero untuk melengkapkan hatriknya.

City memperoleh penalti selepas Cesar Azpilicueta mengasari Sterling dengan pemain tengah England itu meledak gol kedua peribadinya dan jaringan kemenangan tuan rumah pada minit ke-80.

Sebelum itu, Gabriel Jesus yang menggantikan Aguero pada minit ke-65 turut berpeluang meledak jaringan sebelum dia dikasari rakan senegaranya, David Luiz tetapi rayuannya untuk mendapatkan penalti tidak dilayan.

Kekalahan 0-6 mencipta rekod kekalahan terburuk Chelsea di gelanggang lawan sejak 1996 mengatasi kekalahan 0-6 kepada Bournemouth pada perlawanan terakhir mereka di tempat lawan sekali gus meningkatkan tekanan buat pengendali, Maurizio Sarri.

Kekalahan itu turut menyaksikan Manchester United kekal di tangga keempat liga dengan City berusaha untuk menjadi pasukan pertama sejak musuh tetangganya itu menjuarai saingan liga secara berturut-turut pada 2009.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 2:10am
d