arena

Kanada sasar Piala Dunia 2022 : Herdman

Oleh Reuters

JURULATIH bola sepak Kanada, John Herdman berjanji akan membawa skuad negara itu layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar selepas melancarkan pelan strategi 2019-2021 termasuk menggilap skuad wanita mereka untuk mengecapi podium pada temasya OIimpik.

Negara Utara Amerika itu akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026 bersama Mexico dan Amerika Syarikat dan pelan itu dilancar serentak sebagai sasaran untuk memastikan skuad lelaki negara itu mampu bersaing dalam kejohanan kompetitif sebagai pasukan tuan rumah.

"Kami pasti akan layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar dan memiliki asas kekuatan untuk edisi 2026. Jika tidak sekarang, bila lagi? " kata Herdman kepada hadirin pada majlis pelancaran di Stadium Nasional, hari ini.

"Kami akan mengambil bahagian pada 2022, kita akan serlahkan keupayaan kita,” katanya.

Piala Dunia 2022 akan menyaksikan FIFA menambah 48 pasukan, namun kenyataan berani jurulatih Kanada itu masih boleh dipersoalkan memandangkan prestasi negara itu yang hanya layak sekali di pusingan akhir namun tewas ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan di pentas Piala Dunia Mexico pada 1986.

Pencapaian terbaik negara itu adalah menerusi pasukan bola sepak wanita Kanada memenangi pingat gangsa pada temasya Olimpik London 2012 dan Olimpik Rio 2016. Namun prestasi pasukan lelaki masih kurang memberangsangkan.

Herdman mengambil alih sebagai pengendali skuad lelaki tahun lalu dan memenangi semua empat perlawanan menentang pasukan kerdil seperti Saint Kitts and Nevis dan Republik Dominica.

Namun usaha berterusan Kanada itu membawa faedah kewangan lumayan selepas mengikat perjanjian dengan Nike selaku penaja utama sehingga Piala Dunia 2026 di tambah pula dengan kemeriahan musim Liga Perdana yang akan bermula pada April ini.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 2:45pm
d