arena

Walsh sah lepas jawatan

Oleh Saiful Affendy Sapran

TERRY Walsh sah akan melepaskan jawatan selaku Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selepas kontraknya berakhir hujung bulan depan.

Walsh yang hadir pada sidang media hari ini berkata, ia adalah keputusannya sendiri selepas lebih tiga tahun menggalas tugas itu.

"Saya gembira dapat kembali ke Malaysia dan bekerja di sini. Saya masih percaya skuad negara mempunyai potensi untuk setaraf dengan pasukan terbaik dunia yang lain.

"Sepanjang tiga tahun, pasukan kebangsaan terus mempamerkan peningkatan.

"Saya akan terus terbabit dengan MHC sehingga hujung Mac. Kemudian saya akan kembali ke Perth (Australia) meluangkan masa bersama isteri dan keluarga.

"Saya tetap yakin selepas penantian selama 20 tahun, skuad lelaki negara akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan," katanya Walsh turut berterima kasih kepada Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Arena Metro semalam melaporkan khabar angin kemungkinan Walsh akan berundur selepas menggalas tugas itu sejak 2015.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 2:53pm
d