arena

KEPDA seru penyokong banjiri Stadium Darul Aman

Oleh Izzali Ismail

KELAB Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA) mahu penyokong membanjiri Stadium Darul Aman (SDA) bagi menyaksikan perlawanan pertama Kedah di tempat sendiri dalam aksi Liga Super menentang Felda United, Sabtu ini.

Menurut presidennya Nor Hasmadi Hamzah, inilah masa paling sesuai penyokong skuad Lang Merah hadir memenuhi stadium sebagai tanda kesetiaan sekali gus meraikan perlawanan pertama di Stadium Darul Aman musim ini.

"Mestilah kita mahu melihat kemenangan pertama di SDA selepas aksi meyakinkan dalam dua perlawanan awal sebelum ini yang disaksikan ramai penyokong Hijau Kuning di tempat lawan."

"Kami sangat berharap semua penyokong Kedah hadir ke Stadium Darul Aman sebagai tanda kesetiaan dan tidak mustahil stadium akan penuh Sabtu ini.

"Di samping itu KEPDA juga mengesahkan penyertaan 300 ahli setianya yang akan hadir ke SDA untuk memberi sorakan paling gemuruh untuk skuad Hijau Kuning.

"Kami akan menyediakan empat gendang bersaiz besar berserta paluan gong yang akan digemakan dengan pembesar suara di ruang tengah stadium."

"Inilah sumbangan kami kepada pasukan pada awal musim ini dan berharap semua pemain akan bertambah bersemangat selepas mendapat suntikan motivasi dari kami sebagai 'pemain ke-12'.”

Nor Hasmadi juga berkata, pihaknya yakin Kedah di bawah kendalian jurulatih kelahiran Singapura Aidil Sharin Sahak yang telah mencipta nama di peringkat Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)  mampu memberi saingan terbaik dalam kelompok lima pasukan teratas Liga Super musim ini.

Kedah kini meraih empat mata dalam carta Liga Super selepas menewaskan PKNP FC 2-0 dan seri 1-1 menentang juara Piala Malaysia musim lalu Perak.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 6:06pm
d