arena

Malindo Air taja penerbangan UiTM FC

Oleh Norzamira Che Noh

PASUKAN UiTM FC mengambil langkah ke hadapan dalam mencorak keseluruhan pasukannya ke arah memupuk nilai integriti dan menolak sebarang gejala rasuah dalam permainan.

Sehubungan itu, pengurusannya hari ini menyatakan komitmen menerusi majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Presiden UiTM FC yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata, seramai 120 individu terdiri daripada pemain, barisan kejurulatihan dan pengurusan bersama berikrar pada majlis berkenaan.

"Kami sentiasa percaya, pemain bukan sahaja dilatih untuk kecergasan fizikal, mempunyai stamina tinggi serta beraksi hebat malah mereka perlu dididik dalam aspek pembawaan diri serta etika yang bagus.

"Pemain perlu faham mengenai implikasi rasuah yang bukan sahaja merugikan mereka tetapi memburukkan nama baik pasukan seterusnya universiti sendiri.”

"Anda mempunyai bakat dan potensi dalam bola sepak. Justeru mengapa ingin merosakkannya dengan aktiviti rasuah?" katanya ketika berucap pada Program Ceramah dan Ikrar Bebas Rasuah oleh SPRM Selangor dan UiTM FC di Pusat Sukan UiTM, Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, program berkenaan diadakan bagi menyelaraskan aktiviti pencegahan rasuah serta menerapkan nilai integriti dan murni dalam kalangan pemain yang sebahagian besar terdiri daripada mahasiswa.

Pada majlis sama, UiTM FC juga memperkenalkan syarikat penerbangan Malindo Air sebagai rakan penerbangan rasmi pasukan berkenaan.

Abdullah berkata, Malindo Air akan menaja penerbangan pasukan UiTM FC sehingga penghujung musim 2019.

"Kami amat berbesar hati dengan kesudian Malindo Air menjadi rakan penerbangan rasmi untuk UiTM FC dan berharap ia pasti akan menaikkan lagi semangat pemain," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim berkata, inisiatif berkenaan memperlihatkan kesungguhan UiTM FC dalam memastikan pentadbiran kelab itu dilaksanakan dengan lebih telus serta bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa.

"UiTM FC juga menjadi pasukan bola sepak universiti pertama menandatangani IBR. Justeru saya juga ingin menasihat pasukan serta kelab lain untuk turut sama mencontohi UiTM FC.

"SPRM dan UiTM FC akan bekerjasama dalam memastikan gejala mengatur perlawanan, salah guna kuasa dan lain-lain jenayah rasuah tidak berlaku khususnya di negeri ini," katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 6:32pm
d