arena

PKBM beri kata dua kepada Human Voyage

Oleh Azlan Muhammad Zain

EXCO Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memberi kata dua kepada kontraktor Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, Human Voyage (M) Sdn Bhd untuk membuat keputusan pada Khamis ini berhubung penganjuran perlumbaan berprestij itu.

Jelas Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab, masa semakin suntuk dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu melantik pihak lain serta merta dengan nasihat persatuan sukan kebangsaan itu sekiranya Human Voyage (M) Sdn Bhd tidak dapat melaksanakannya mengikut tarikh ditetapkan.

"PKBM sedia menyelamatkan LTdL 2019 sekiranya mereka tidak dapat menganjurkan pada tarikh ditetapkan dan syarikat berkenaan perlu memaklumkan keputusan pada 14 Februari kepada KBS dan PKBM kerana masa yang suntuk," jelas Abu Samah menerusi satu kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat khas exco PKBM di Kuala Lumpur, hari ini.

Mesyuarat Jawatakuasa Induk LTdL 2019 dijadualkan berlangsung pada Khamis ini. Human Voyage (M) Sdn Bhd yang dipilih melaksanakan perlumbaan yang didaftarkan dari 24 hingga 31 Mac, dilaporkan mahu menangguhkannya kepada April dengan tarikh didakwa terlalu hampir dengan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) bermula pada 26 Mac.

"Pendirian PKBM sekiranya perlumbaan tidak dianjurkan pada waktu ditetapkan dan jika hilang status "hors classe", ia disebabkan kecuaian dan kegagalan syarikat itu.

"Malah sehingga kini tiada sebarang permohonan rasmi mereka untuk pindaan tarikh dan ia perlu dilakukan melalui PKBM untuk dipanjangkan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan kelulusan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC)," jelasnya.

Tambahnya, tujuan tarikh perlumbaan yang dijadualkan pada Februari atau Mac adalah untuk menarik pasukan Eropah sebelum musim perlumbaan di sana bermula.

Malah PKBM mengakui jadual sukan berbasikal sudah padat pada April bermula dengan Kejohanan Berbasikal BMX Asia di Negeri Sembilan (12-14 April), Tour de Iskandar di Johor (17-21 April), Kejohanan Lumba Basikal Asia di Uzbekistan (23-28 April) dan Piala Ketua Menteri Melaka (27 -28 April).

"Sekiranya LTdL tidak dapat dianjurkan mengikut waktu ditetapkan, PKBM tidak akan dipertanggungjawabkan," tambahnya.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 9:49pm
d