arena

Tak gentar tanpa Neymar, Cavani

Oleh AFP

MANCHESTER, United Kingdom: Kylian Mbappe berkata Paris Saint-Germain membuktikan mereka tidak gentar biarpun tanpa Neymar atau Edinson Cavani apabila kelab Perancis itu menang 2-0 ke atas Manchester United dalam aksi 16 terakhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

“Kami perlu hentikan cerita menakutkan ini. Kita perlu berhenti daripada rasa takut,” kata Mbappe.

“Memanglah Neymar amat penting, begitu juga Cavani tetapi bola sepak ditentukan di padang dan kami membuktikannya hari ini.

Penyerang skuad juara Piala Dunia itu menjaringkan gol kedua PSG sejam selepas sepak mula selepas gol awal Presnel Kimpembe pada minit ke-53 bagi membolehkan skuad Thomas Tuchel mendominasi perlawanan sebelum aksi kedua bulan depan.

Ia aksi luar biasa yang ditunjukkan PSG dengan ketiadaan Neymar dan Cavani - seorang pemain termahal dunia dan seorang lagi penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu.

Dalam ketiadaan mereka PSG masih mampu memberikan kekalahan pertama terhadap United sejak pelantikan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengendali sementara.

“Pada separuh masa kedua, kami tampil lebih baik kerana kami sedar mereka mahu meningkatkan rentak permainan, khususnya menjaringkan gol di laman sendiri,” kata Mbappe yang meledak gol ke-23 dalam semua kejohanan musim ini.

“Kami gembira, tetapi masih separuh jalan dan kami perlu terus membuat persiapan kerana saya fikir pada 20 minit terakhir, kami agak keletihan.”

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 9:04am
d