arena

Couples, Stricker, Johnson sandaran Woods

Oleh AFP

MELBOURNE: Tiger Woods yang muncul kapten pasukan Piala Presiden-Presiden buat kali pertama menamakan Fred Couples, Steve Stricker dan Zach Johnson sebagai tiga pembantunya hari ini, untuk berdepan pasukan Antarabangsa di Melbourne dalam kejohanan diadakan lewat tahun ini.

Juara major 14 kali itu memasukkan bekas kapten Couples dan Stricker, selain membawa muka baharu dalam barisan kepemimpinan iaitu juara Kejuaraan Terbuka dan Masters, Johnson untuk kejohanan yang bakal diadakan pada 12 hingga 15 Disember depan.

“Selepas bertanding dengan Tiger untuk Piala Presiden-Presiden sebelum ini, saya sentiasa berbangga dengan kesungguhannya dalam kejohanan berpasukan.

“Saya teruja kerana dia mempercayai saya untuk tugas penting ini, saya tidak sabar untuk membantu pasukan mengecap kejayaan.”

Johnson beraksi dalam empat edisi Piala Presiden-Presiden, termasuk pada 2015 di Korea Selatan di mana dia memberikan kemenangan penting menewaskan jagoan Australia Jason Day.

Dia mungkin menjadi calon salah seorang pemain yang dipilih Woods jika tidak layak secara automatik dalam kelompok empat teratas yang ditentukan oleh kutipan mata Piala FedEx.

Kelab Golf Royal Melbourne adalah venue yang mengetengahkan lapangan Sand Belt yang menuntut strategi dalam permainan tetapi sering dianggap terlalu pendek bagi pemain yang selalu membuat pukulan jauh, dan ia pastinya sesuai dengan Johnson yang mampu membuat pukulan pendek dari tee dalam Jelajah PGA AS.

Stricker memiliki latar belakang tersendiri kepada pasukan yang akan berdepan skuad Antarabangsa yang diketuai Ernie Els dari Afrika Selatan, yang mempunyai hubungan dengan Woods di mana mereka pernah bersama dalam empat edisi Piala Presiden-Presiden.

“Stricks adalah pemimpian yang menakjubkan pada 2017 dan saya banyak belajar ketika dia menjadi kapten dan berharap dapat mengulanginya di Melbourne,” kata Woods.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 5:31pm
d