arena

MFL tak layan permintaan PAFA

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

PEMAIN Perak tidak mempunyai pilihan selain harus menerima hakikat perlu bekerja keras musim ini berikutan terpaksa bertarung lebih perlawanan berbanding pasukan lain dalam Liga Malaysia.

Ini kerana juara Piala Malaysia itu terpaksa bersaing dalam Liga Super dan pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, permintaan persatuan itu agar diberi kelonggaran dalam jadual Liga Malaysia ditolak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

"Kami sudah membuat permintaan kepada MFL agar menimbangkan untuk memberi kelonggaran kepada Perak iaitu boleh `bercuti' dalam satu perlawanan (jika bertembung lebih dua perlawanan seminggu) dan digantikan pada hari lain yang ditetapkan kemudian.

"Tetapi permintaan ini tidak mendapat kelulusan kerana MFL juga menghadapi masalahnya sendiri dan terikat dengan jadual perlawanan yang sudah disusun lebih awal," katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat pelantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Perak di Ipoh, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak diminta mengulas situasi Perak yang kini terpaksa berhadapan dengan jadual perlawanan agak padat kerana perlu bersaing dalam Liga Malaysia dan ACL.

Ahmad Faizal berkata, tiga perlawanan dalam tempoh seminggu agak memenatkan bagi skuad The Bos Gaurus (TBG) tetapi mereka harus berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan tidak tercicir mata dalam Liga Super serta mampu memberikan persembahan terbaik dalam aksi pusingan ketiga ACL menentang wakil Korea Selatan,Ulsan Hyundai di tempat lawan.

Dalam perlawanan penuh dramatik malam semalam, skuad TBG diheret sehingga ke penentuan penalti selepas terikat 1-1 sebelum penjaga gol, Muhammad Hafizul hakim Khairul Nizam Jothy menjadi wira apabila menyelamatkan dua penalti lawan bagi membolehkan Perak mara dengan kemenangan 6-5.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 6:21pm
d