arena

TSG akui perancangan terjejas

Oleh Azlan Muhammad Zain

TSG mahu pertahan jersi kuning dimenangi Ovechkin (tengah) dalam saingan LTdL 2018.

TERENGGANU Inc TSG Cycling Team (TSG) mengakui hasrat mempertahankan kategori individu keseluruhan (jersi kuning) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 bakal terganggu sekiranya perlumbaan tidak berjalan seperti dijadualkan.

Pasukan benua tempatan itu melakar sejarah apabila meraih jersi utama pada edisi 2018 menerusi pelumbanya dari Russia, Artem Ovechkin dan sudah mempersiapkan perancangan terperinci bagi mempertahankannya.

"Kami sudah merancang untuk menjalani latihan selama sebulan di Melbourne yang menelan kos kira-kira RM100,000. Tujuan utama kami adalah mempertahankan jersi kuning dan mencapai kedudukan ketiga terbaik kategori berpasukan.

"Pada masa sama, kami turut menolak menyertai satu perlumbaan di Jepun bagi memberi keutamaan kepada perlumbaan di tempat sendiri yang turut menawarkan pungutan mata lebih tinggi," jelas Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus.

Pasukan dari Terengganu itu dilihat lebih serius menghadapi edisi 2019 apabila mendapatkan bekas juara jersi kuning LTdL 2015 dari Algeria, Youcef Reguigui.

"Pelumba juga sudah mendapat rentak terutamanya dengan menaiki podium beberapa kali di Ronda Pilipinas yang berakhir semalam," katanya.

Tarikh sebenar perlumbaan berstatus "hors classe" menjadi pertikaian apabila kontraktor yang dilantik, Human Voyage (M) Sdn Bhd mahu mengubahnya selepas didaftarkan dari 24 hingga 31 Mac.

Bagaimanapun Exco Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) semalam membuat keputusan agar ia diteruskan seperti didaftarkan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

PKBM memberi kata dua kepada Human Voyage (M) Sdn Bhd agar membuat keputusan esok sama ada mahu melaksanakan perlumbaan seperti dirancang atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bertindak sebagai penyumbang dana melantik pihak lain.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 6:46pm
d