arena

Soniia elak jumpa jagoan dunia

Oleh Ferzalfie Fauzi

HAJAT pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah untuk tidak berdepan lawan ranking 10 terbaik dunia seperti Ratchanok Intanon di pusingan pertama Seluruh England menjadi kenyataan namun dia tidak boleh memandang mudah cabaran wakil Jepun, Aya Ohori.

Berdasarkan rekod pertemuan ia bakal menjadi perlawanan sulung antara kedua-dua pemain, namun Soniia harus berhati-hati dengan tipu muslihat pemain ranking ke-20 dunia itu.

"Memang saya harap satu undian menyebelahi saya. Harap tidak berdepan Ratchanok lagi," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Ketika di Masters Indonesia bulan lalu Soniia jelas gagal memberikan tentangan sengit kepada Ratchanok di pusingan pertama selepas kalah straight set 15-21, 14-21.

Bagaimanapun, pemain berada di ranking ke-34 dunia itu mengakui jurang antara dia dengan beberapa nama besar tidak terlalu jauh.

"Saya sudah mampu menyamai kemampuan saya. Masalah saya sekarang ini ialah kurang konsisten. Kadang-kadang saya mampu meraih mata dengan mudah, selepas itu akan melakukan kesilapan. Jadi selepas berakhirnya Kejohanan Kebangsaan ini saya perlu bersiap sedia untuk mengharungi saingan Terbuka Jerman dan Seluruh England.

"Pada dua kejohanan sebelum ini saya bukannya hilang tumpuan namun berkait dengan faktor lain seperti penyesuaian gelanggang dan lawan pula berada dalam keadaan baik," kata pemain berusia 26 tahun ini.

Ditanya mengenai sasaran, Soniia mengakui kedua-dua kejohanan itu bakal disertai pemain ternama dunia, namun dia tetap berharap dapat memperagakan aksi terbaik. "Saya tidak mahu cakap mengenai keputusan bakal diraih tapi berharap mampu meningkatkan prestasi," katanya yang akan bermain di Terbuka Jerman terlebih dulu dengan menentang Yeo Jia Min dari Singapura di pusingan pertama.

Undian Seluruh England berlangsung semalam menyaksikan seorang lagi perseorangan wanita, Goh Jin Wei akan berdepan Sayaka Takahashi (Jepun) di pusingan pertama.

Bagi saingan perseorangan lelaki, wakil tunggal dan pemain profesional, Liew Daren akan berdepan Suppanyu Avihingsanon dari Thailand. Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang meletakkan sasaran mara ke separuh akhir akan memulakan saingan Seluruh England sulung mereka dengan berdepan Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan, manakala Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula bakal diuji pilihan keempat dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong diundi menentang wakil Indonesia, Berry Angriawan-Hardianto Hardianto.

Bagi saingan beregu campuran, pasangan muda negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei akan berdepan wakil tuan rumah, Chris Adcock-Gabrielle Adcock, manakala pilihan kelima, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying diundi bertemu Takuro Hoki-Wakana Nagahara (Jepun).

Goh Soon Huat-Shevon Lai pula akan menentang Ronald Ronald-Annisa Saufika dari Indonesia dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing bakal berdepan tugas sukar bertemu pilihan kedua dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 7:04pm
d