arena

Kudrat Norazlan ditagih The Fighters

Oleh Asrol Awang

AKSI cemerlang bekas penjaga gol kebangsaan, Norazlan Razali menjadi sandaran utama FELDA United FC apabila bertemu Kedah di Stadium Alor Setar, Sabtu ini.

Prestasi mengkagumkan dalam dua perlawanan ketika seri 1-1 dengan Selangor dan PKNP FC 1-1 biarpun melepaskan dua gol dalam saingan Liga Super setakat ini.  

Pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, ketangkasan Norazlan dalam menangkis percubaan lawan memberi motivasi kepada rakan sepasukan.

"Apabila dia (Norazlan) berjaya dapat menghalang lawan menjaringkan gol, pemain lain tahu apa yang perlu mereka lakukan untuk pasukan.

"Dengan persefahaman dan kerjasama ini, mereka berjaya mengawal permainan walaupun pada satu ketika ketinggalan untuk mengelak kita daripada terlepas mata.

"Sebagai pemain senior dalam pasukan, Norazlan juga membantu pemain muda dan sikap seperti ini menjadi contoh terbaik untuk kejayaan pasukan," katanya.

Mengulas kemampuan kapten pasukan, Hadin Azman yang menjaringkan dua gol, masing-masing satu pada setiap perlawanan, Mohd Nidzam memuji sentuhan pemain tengah itu. 

Katanya, komitmen tinggi yang dipersembahkan bekas pemain Harimau Muda B itu diharap membantu meletakkan dalam kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.

"Oleh itu, saya mengharapkan semua pemain dapat memberikan persembahan menyakinkan pada pertemuan dengan Kedah Sabtu ini," katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 3:07pm
d