arena

Ah Toh gantung raket awal

Oleh Ferzalfie Fauzi

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) kehilangan permata baru yang sedang menyinar Toh Ee Wei apabila pemain beregu wanita itu mengambil keputusan meninggalkan persatuan itu kerana masalah kesihatan.

Pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa kejurulatihan dan latihan (C&T) hari ini, Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, Ee Wei baru selesai menjalani pembedahan kecil susulan masalah resdung.

“Dia (Ee Wei) pada mulanya disarankan hanya mengambil cuti panjang selepas menjalani pembedahan namun mungkin disebabkan doktor memberi nasihat dia perlu berehat dalam tempoh lama menyebabkan dia membuat keputusan untuk meninggalkan BAM,” kata Chin Chai yang juga Pengerusi Jawatankuasa C&T.

Ujarnya, Ee Wei yang juga pemenang pingat perak Kejohanan Remaja Dunia 2018 di Kanada, diberi ruang untuk menyertai semula BAM pada masa akan datang.

“Jika dia sudah sembuh, dia boleh menyertai semula BAM. Bagaimanapun, sekarang kami menganggap ia satu kehilangan besar. Rakan segandingannya, Pearly Tan akan bergandingan dengan seorang lagi pemain muda Yap Ling,” kata Chin Chai.

Ee Wei juga meraih gangsa pada Kejohanan Remaja Dunia 2016 di Bilbao, Sepanyol dalam acara beregu campuran bergandingan dengan Chen Tang Jie.

Tahun lalu dia dan Pearly berjaya merangkul kejuaraan Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia di Kangar dan naib juara Kejohanan Badminton Remaja Asia.

Pemain berusia 19 tahun itu juga muncul juara beregu wanita Terbuka Remaja Belanda dan naib juara Cabaran Antarabangsa Remaja Thailand.

Selain Ee Wei, tiga lagi pemain turut mengambil keputusan meninggalkan BAM iaitu pemain beregu lelaki Tan Wee Gieen dan Shia Chun Kang serta dan pemain beregu wanita Eng Sin Jou.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 6:08pm
d