arena

Nishikori, Tsonga mara di Terbuka Rotterdam

Oleh AFP

PEMAIN Jepun, Kei Nishikori mencacat kemenangan selesa ke atas pemain Latvia, Ernests Gulbis, 6-1, 6-4 untuk mara di peringkat suku akhir Terbuka Rotterdam, di Rotterdam, Belanda.

Pemain nombor satu Asia dan nombor tujuh dunia itu, hanya memerlukan satu jam 15 minit untuk mencipta rekod tiga kemenangan ke atas bekas pemain semi final Terbuka Perancis, yang bernasib baik kerana tewas di Ahoy Arena.

Nishikori akan berdepan pemain Hungary, Marton Fucsovics yang menewaskan Nikoloz Basilashvili dari Georgia, 7-6 (7/1), 6-1, untuk perebutan ke peringkat separuh akhir.

Nishikori yang memenangi gelaran ke-12 ATP di Brisbane, awal tahun ini berkata, dia berpuas hati dengan permainannya.

"Perlawanan hari ini lebih baik berbanding perlawanan pertama saya. Saya berjaya mengembalikan pukulan dengan baik dan membuatkan dia berada dalam keadaan tertekan.

"Set kedua lebih sengit tetapi saya tidak terlalu bimbang walaupun dia cuba merapatkan kedudukan.

“Saya mampu bermain dengan baik hari ini, saya gembira dengan tahap prestasi saya.”

Terdahulu, Jo-Wilfried Tsonga terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan menewaskan pemain Belanda, Tallon Griekspoor untuk mara ke suku akhir.

Pemain Perancis itu menang 7-6 (7/5), 6-1 dalam tempoh kira-kira 76 minit.

Tsonga yang juga juara 2017 di Rotterdam kini dalam misi memburu gelaran kedua berturut-turut selepas bergelar juara di Montpellier hujung minggu lalu dan dalam proses untuk kembali bangkit selepas terpaksa berehat selama tujuh bulan susulan pembedahan lutut yang dilakukannya.

Kedudukan ranking dunia pemain berusia 33 tahun itu juga dijangka melonjak daripada tangga ke-140 selepas dia meraih keputusan positif dalam kejohanan yang disertai.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 10:35am
d