arena

The Fighters mahu rantai Lang Merah 

Oleh Asrol Awang

MISI getir bakal dihadapi FELDA United FC apabila bertemu Kedah pada perlawanan ketiga Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah malam esok.

Ia diakui kapten The Fighters, Hadin Azman yang mengharapkan rakan sepasukan dalam keadaan tenang selain bertindak mengukuhkan benteng bagi mengelak gawang dibolosi.

"Jika dilihat kepada prestasi semasa, Kedah meraih empat mata dan ia keputusan yang baik buat mereka kerana memulakan dua perlawanan di tempat lawan.

"Sudah pasti beraksi di laman sendiri, mereka akan memastikan kemenangan dan sebagai pelawat, kami perlu memberikan tumpuan 100 peratus terutama sebaik perlawanan bermula.

"Kami tidak boleh tertekan, sebaliknya perlu mengawal permainan dan akan sedaya upaya untuk mengasak kubu tuan rumah," kata pemain berumur 25 tahun itu.

Hadin yang juga bekas pemain Harimau Muda B berkata, dua keputusan seri juga memberi lebih keyakinan kelab itu untuk meneruskan rentak cemerlang.

Katanya, reputasi Kedah sebagai sebuah pasukan yang turut diberi tumpuan musim ini tidak akan menjejaskan fokus The Fighters untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

"Kami tidak mahu kunjungan ke Alor Setar berakhir dengan kekecewaan walaupun skuad Lang Merah dilihat memiliki banyak kelebihan terutama sokongan padu peminat.

"Namun, sebagai pasukan bukan pilihan, permainan di atas padang akan menentukan prestasi sebenar pasukan sepanjang tempoh 90 minit permainan," kata Hadin yang menjaringkan dua gol, masing-masing satu ketika seri 1-1 dengan Selangor dan PKNP FC (1-1).

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 11:44am
d