arena

Kedah tidak pandang mudah lawan FELDA United

Oleh Izzali Ismail

JURULATIH Kedah Aidil Sharin Sahak mahu skuadnya lebih waspada dan tidak memandang mudah kemampuan FELDA United dalam usaha memburu kemenangan sulung di laman sendiri pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman esok.

Aidil Sharin menganggap FELDA United pasukan yang mampu memberi kejutan berdasarkan kemampuan mereka mengikat dua pasukan iaitu Selangor dan PKNP FC dalam dua aksi Liga Super musim ini yang menyaksikan keputusan seri 1-1.

"FELDA United penuh strategi dan ada kemungkinan mereka akan lebih bertahan dan melakukan serangan balas pantas melalui dua pemain sayap iaitu Hadin Azman dan S Chanturu kerana mereka tetap hadir mencari tiga mata di Darul Aman kali ini."

"Mana-mana pasukan sekalipun yang kita hadapi termasuk FELDA United kali ini, kita tidak boleh memandang mudah berdasarkan kedudukan mereka dan ada kala pasukan lebih bawah dari kita juga mampu melakukan kejutan." kata Aidil Sharin yang berharap pemain tidak akan mempersiakan peluang menjaringkan gol.

Menurutnya, dia mahu pemain memberi tekanan kepada pihak lawan seperti mana dua aksi bertemu PKNP FC dan Perak yang berlangsung di tempat lawan sebelum ini.

"Kita perlu terus meletakkan tekanan kepada pihak lawan dan pada masa yang sama cari kelemahan mereka.

"Objektif Kedah adalah sama.. mahukan persembahan yang mantap dan konsisten sepanjang 90 minit perlawanan dan mengutip tiga mata pada perlawanan nanti.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 12:59pm
d