arena

City Boys mungkin gugur import

Oleh Syazwan Msar

WALAUPUN baru mengharungi dua perlawanan Liga Malaysia (Liga-M), Kuala Lumpur dikatakan terpaksa mengambil langkah drastik dengan kemungkinan menggugurkan beberapa pemain import kerana faktor kecederaan.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, keputusan itu perlu diambil demi pasukan memandangkan saingan liga baru saja bermula dan tidak mahu ada masalah kekurangan pemain.

Beliau berkata, setakat ini, mereka belum mencari pengganti bersesuaian jika kuota pemain import kosong namun akan melakukannya dalam masa terdekat sebelum pendaftaran pemain ditutup.

“Setakat ini, dua tonggak KLFA cedera dan tak boleh beraksi dalam masa terdekat ini iaitu pertahanan Khair Jones dan penyerang import Guilherme de Paula.

“Dua pemain ini sah tidak boleh beraksi dalam masa terdekat ini sekali gus merencatkan perancangan KLFA untuk mengharungi saingan liga,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

“Walaupun masa semakin suntuk bagi tempoh pendaftaran pemain namun kami tidak mahu memilih pemain import tangkap muat seterusnya akan mengganggu perancangan KLFA.

“Guilherme yang tidak boleh beraksi untuk tempoh sekurangnya sebulan memerlukan rehat dan rawatan seterusnya kami tidak mahu jika perkara itu berlanjutan akan mencetus masalah lain.”

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 7:33pm
d