arena

Sarri masih dipercayai: Luiz

Oleh AFP

PERTAHANAN Chelsea, David Luiz menegaskan tiada sebarang tentangan dalam bilik persalinan terhadap taktik pengurus Maurizio Sarri walaupun kalah teruk 0-6 di Manchester City, hujung minggu lalu.

Sarri dikritik hebat kerana enggan mengubah corak permainannya, sekalipun di gelanggang lawan menentang pasukan kuat.

Blues bangkit menewaskan Malmo 2-1 pada aksi Liga Europa awal pagi tadi, namun ujian getir menanti mereka dengan kunjungan ke Manchester United bagi aksi pusingan kelima Piala FA Inggeris, Isnin ini diikuti pertemuan semula dengan City pada final Piala Liga, 24 Februari depan.

“Ya, kami mempunyai masa depan yang mengagumkan,” kata Luiz kepada wartawan selepas kemenangan di Sweden. “Kami sudah mengadakan mesyuarat beberapa kali bertanyakan jika ada yang tidak percaya.

“Tiada siapa menyatakannya. Ia kerana setiap orang masih percaya.”

Kekalahan terbesar Chelsea dalam sejarah Liga Perdana Inggeris mencetus persoalan serius mengenai masa depan bekas jurulatih Napoli, Sarri hanya lapan bulan berlalu daripada kontrak tiga tahun.

Namun Luiz percaya pengendali dari Itali itu memerlukan masa untuk menerapkan ideanya seperti bos City, Pep Guardiola dan pengurus Liverpool, Juergen Klopp pada awal karier mereka di England.

“Kami kalah mungkin di tangan pasukan terbaik di dunia ketika ini iaitu Manchester City,” ujar Luiz.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 10:17pm
d