arena

Tindakan tegas wajar: PFAM

Oleh Syazwan Msar

PERANG habis-habisan isu lapuk tunggakan gaji antara perkara utama yang mahu direalisasikan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dalam memastikan masalah yang semakin parah itu diselesaikan segera.

Malah, PFAM juga sentiasa berdiri teguh dan menyokong agenda Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk ‘merawat’ dan ‘menyembuhkan’ penyakit tunggakan gaji yang menjadi mimpi buruk pemain bola sepak tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail berkata, walaupun kes tunggakan gaji mengambil masa untuk diselesaikan namun mereka komited bagi memastikan pemain mendapat pembelaan sewajarnya.

“PFAM turut bersetuju dengan MFL yang mahu mengambil tindakan lebih tegas dalam menangani masalah tunggakan gaji.

“Hukuman lebih tegas iaitu pemotongan geran tahunan, potongan mata, larangan mengambil pemain baru dan penggantungan perlu dilakukan segera sebagai peringatan kepada pasukan itu,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, beliau juga mengingatkan kepada pasukan yang menghadapi masalah tunggakan gaji tidak mengambil mudah perkara itu dan diharap menyelesaikan segera supaya tidak menyusahkan banyak pihak.

“Tindakan tegas itu bukan zalim namun sebagai peringatan dan amaran kepada pasukan bola sepak supaya tidak mengambil mudah masalah ini.

“Perlu diingatkan bola sepak adalah periuk nasi pemain dan mereka menyara kehidupan keluarga masing-masing menerusi sukan ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 7:17pm
d