arena

Ferguson kembali aksi sumbangsih

Oleh Reuters

BEKAS pengurus Manchester United, Alex Ferguson akan kembali berada di tepi padang bagi aksi sumbangsih untuk meraikan ulang tahun ke-20 kejayaan pasukan itu meraih tiga trofi semusim, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu hari ini.

Warga Scotland berusia 77 tahun itu akan mengendalikan pasukan legenda bertemu Bayern Munich di Old Trafford pada 26 Mei depan.

Ferguson, yang memenangi Liga Juara-Juara dua kali, Liga Perdana 13 kali dan lima Piala FA bersama United, menjalani pembedahan otak pada Mei tahun lalu namun sejak itu sudah pulih dan sering berada di Old Trafford pada hari perlawanan.

“Saya tidak sabar untuk hadir pada satu hari istimewa di Old Trafford,” kata Ferguson kepada laman web kelab itu.

“Pasti hebat untuk bertemu beberapa personaliti yang saya kenali dan peluang terbaik untuk menyokong usaha Yayasan Manchester United.”

Ole Gunnar Solskjaer, kini bertugas sebagai pengurus sementara United, menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 2-1 ke atas Bayern pada final Liga Juara-Juara 1999 sekali gus melengkapkan tiga trofi termasuk Liga Perdana dan Piala FA.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 10:11pm
d