arena

Tambadau raih kemenangan sulung

Oleh Ryan Stanley

SABAH bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum mengatasi Terengganu FC II (TFCII) 3-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

TFCII yang hanya sekali-sekala membahayakan kubu Sabah memecah kebuntuan pada minit ke-40 menerusi rembatan Ramzi Sufian yang menyempurnakan hantaran Ridzuan Razali.

Skuad Tambadau tidak perlu menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila pertahanan import, Park Tae Su menggunakan kesempatan susulan keadaan kelam-kabut dalam kotak penalti lawan lima minit selepas rehat.

Luka Milunovic kemudian menggegar jaring lawan pada minit ke-60 namun gol itu tidak dibatalkan kerana pemain tengah itu terlebih dulu mengasari pertahanan lawan.

Bagaimanapun, Milunovic berjaya menebus kekecewaannya apabila meledak gol kedua Sabah menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 25 meter bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Pemain gantian Ricco Nigel Milus kemudian menceriakan lebih 2,000 penyokong tuan rumah apabila menyempurnakan hantaran Milunovic pada minit ke-74 bagi melengkapkan kemenangan bergaya itu.

Kemenangan itu melonjakkan Sabah ke tangga kelima dengan empat mata manakala TFCII di tangga keempat, dua mata di depan mereka.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 10:55pm
d