arena

'Nak kejutkan Kedah, akhirnya kami terkena'

Oleh Izzali Ismail

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih FELDA United, Nidzam Jamil kecewa selepas perancangannya untuk melakukan kejutan keatas Kedah pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman semalam tidak menjadi kenyataan selepas skuadnya pula tewas dengan jaringan 0-4.

"Saya akui perancangan kita adalah untuk melakukan kejutan keatas Kedah tapi akhirnya kita pula yang dikejutkan."

"Tak banyak yang kita boleh buat dalam perlawanan menentang Kedah ini kerana mereka (Kedah) memiliki kualiti permainan yang sangat berbeza."

"Keputusan 4-0 malam ini adalah keputusan yang 'gila' sedikit dan kita harus bangkit semula kerana kita setelah kita mencuba akhirnya kita akui malam ini kualiti kita berbeza."

Nidzam turut mengakui skuadnya perlu bersaing dari segi kualiti, corak serangan yang jelas digunakan dengan bijak oleh Kedah untuk menjerat anak buahnya.

"Mereka berhak menang malam ini dan boleh dikatakan Kedah adalah antara pencabar tertinggi Liga Super kerana jika mahu membandingkan kami (FELDA) dengan Kedah adalah jauh dan kami perlu berusaha lebih untuk sampai ke tahap itu."

"Saya akui pemain saya telah memberi aksi seratus peratus cuma ianya tidak cukup dan kita perlu tingkatkan lagi keupayaan dan kekuatan pasukan kita dalam latihan."

Nidzam berkata The Fighters perlu mempertingkatkan lagi keupayaanya untuk menyaingi pasukan lebih kuat seperti Perak, Johor Darul Ta'zim (JDT), Pahang dalam memastikan kedudukan tidak diperlekehkan.

“Bertemu Perak selepas ini perlukan pendekatan berbeza kerana mereka berada di kemuncak prestasi kerana hampir layak ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan kita menjangkakan perlawanan yang lebih sengit.

"Semua akan anggap mereka (Perak) tak cukup rehat apabila bermain dengan kita tetapi pada saya mereka dilihat sebagai sebuah pasukan yang berupaya beri saingan hebat kerana mereka memiliki antara 18 hingga 20 pemain yang boleh digilirkan."

"Mungkin pemain kita sudah berpuas hati dengan keputusan perlawanan pramusim dan dua keputusan seri sebelum ini, namun perjalanan liga masih jauh dan kita perlu perbetulkan pemikiran yang salah," katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 1:39pm
d