arena

Ariff sedia rantai Angkor Warriors

Oleh Firdaus Hashim dari Phnom Penh

BARISAN pertahanan negara sudah bersedia untuk merantai pergerakan penyerang Kemboja menjelang aksi pertama Piala LG B-22 AFF di Stadium Olimpik, Phnom Penh, malam esok.

Tonggak pertahanan tengah, Ariff Ar-Rasyid Ariffin menjelaskan dia mampu 'bergabung' bersama ketua pasukan Dominic Tan untuk menyekat kemaraan ayam tambatan tuan rumah.

Namun, dia turut menegaskan benteng negara tidak boleh hanya menumpukan kepada tonggak penyerang sahaja dan melupakan kemampuan pemain di bahagian lain skuad Angkor Warriors yang lain.
"Buat masa ini jurulatih belum maklumkan lagi siapa pemain lawan yang akan dijaga nanti.

Tapi sudah semestinya kita kena berhati-hati kerana pemain lain juga mampu menjaringkan gol.

"Apapun, saya bersedia dengan apa jua kemungkinan dan akan mengikut apa juga arahan yang diberikan jurulatih," katanya mengakui ini adalah tugas pertamanya secara rasmi bersama skuad negara di peringkat antarabangsa.

Ariff, 21, berjaya memikat hati Datuk Ong Kim Swee bagi menggantikan tonggak Kuala Lumpur, Irfan Zakaria yang sudah melepasi usia 23 tahun untuk digandingkan dengan Dominic di posisi itu.

Dia yang beraksi bersama skuad Piala Presiden PKNS FC sebelum ini di bawa menyertai kejohanan Piala Newspaper di Vietnam November lalu serta siri jelajah Thailand bulan lalu, terus mendapat kepercayaan untuk mengisi posisi berkenaan.

"Saya dah makin serasi bersama pasukan dan jurulatih juga banyak memberi tunjuk ajar sama ada di atas padang mahupun menerusi video perlawanan.

Saya rasa tiada masalah dan kami boleh lakukan," katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 6:20pm
d