arena

Matador penting akar umbi

Oleh Ferzalfie Fauzi

KELAB hoki Matador terus mengorak langkah dalam melahirkan pemain berkualiti pada masa akan datang dengan memberi tumpuan mendalam terhadap pembangunan akar umbi.

Usahawan, Sarwan Singh kini boleh dilabel sebagai wira apabila kelab berkenaan semakin menyerlah dalam aspek pembangunan selepas berjaya menarik penyertaan lebih 40 pemain muda sekitar Lembah Klang.

Malah, dalam sidang media malam tadi, jelas terbukti bahawa Kelab Hoki Matador kian unggul dalam menjalankan kerja pembangunan selepas menerima penajaan keseluruhan RM 90,000 daripada beberapa syarikat.

“Penajaan adalah perkara paling penting dalam mana-mana sukan dan ia tidak cukup dengan hanya mengucapkan terima kasih.

“Sebaliknya kami harus membalas kepercayaan mereka dengan melahirkan pemain muda berkualiti tinggi untuk negeri dan negara,” kata Sarwan dalam Majlis Pelancaran Jersi Kelab Hoki Matador, Kuala Lumpur, malam tadi.

Sekolah Antarabangsa MAZ muncul penaja terbanyak dengan RM 35,000, diikuti MyGo (RM25,000), MAC Security Consultant (RM15,000), Kelab Sukan Sikh Johor (RM12,000) dan Persatuan Sikh Selangor Selangor (RM12,000).

Sejak dua tahun lalu, Kelab Hoki Matador yang menekankan pembangunan pemain yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun, sudah menganjurkan beberapa kejohanan tertutup selain menyertai kejohanan di Australia.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 2:15am
d