arena

Henry miliki potensi pengurus berjaya

Oleh AFP

THIERRY Henry mempunyai kualiti menjadi pengurus berjaya walaupun tempoh singkatnya di Ligue 1 bersama Monaco mengecewakan, kata bekas pengendali pemain itu di Arsenal, Arsene Wenger.

Pengendali 69 tahun dari Perancis itu berkata, Henry mengambil alih kelab berkenaan Oktober lalu ketika Monaco mengharungi deretan keputusan buruk.

Henry salah seorang bintang Gunners yang menikmati era cemerlang di bawah Wenger termasuk membarisi skuad ‘Invincibles’ pada musim 2003/2004 di mana mereka menjuarai liga tanpa sebarang kekalahan, hanya mampu melakar dua kemenangan liga dalam 15 perlawanan dikendalinya sebelum dipecat bulan lalu.

“Dalam bidang kami, apabila bermula dari awal musim, walaupun ia tidak berjalan lancar, anda mempunyai enam bulan,” kata Wenger.

“Jika anda tiba pada Oktober dan pasukan berada di kedudukan tidak bagus, anda mempunyai tiga bulan. Kerana pada Januari, orang mula berdebar dan ia boleh menjadi buruk.

“Jadi anda mempunyai tempoh lebih singkat jika tiba di pertengahan musim, itu yang berlaku kepada Thierry.

“Bagaimana untuk dia bangkit semula sangat penting, saya percaya dia mempunyai kualiti dan keazaman untuk menjadikannya sebagai karier, dan ia perlu dinilai untuk jangka masa lebih panjang.”

Wenger yang menghadiri majlis Laureus Sport for Good berkata, tuah memainkan peranan besar dalam menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang pengurus, dan Henry serta seorang lagi bekas bintangnya di Arsenal, Patrick Vieira yang membimbing kelab Ligue 1, Nice, memerlukannya.

“Saya memulakan tugas pada usia 33 tahun dan saya mempunyai ramai individu berpotensi di sekeliling saya. Ada yang hilang dan sebahagian lagi berjaya. Mengapa? Kami memerlukan tuah dan perlu bekerja keras tetapi ia sentiasa sukar untuk menjangka karier seorang pengurus kerana ia bergantung kepada kualiti pemain, kualiti kelab serta keyakinan yang diletakkan ke atas kami,” katanya.  

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 10:14am
d