arena

Barcelona perlu lebih menyengat

Oleh Reuters

BARCELONA dijangka mampu merangkul trofi domestik namun kegagalan dalam kempen Liga Juara-Juara sejak akhir-akhir ini menghantui mereka menjelang aksi peringkat pertama saingan 16 terbaik menentang Olympique Lyonnais di tempat lawan pada awal pagi Rabu.

Skuad Ernesto Valverde terbang ke Perancis selepas hanya menang tipis 1-0 ke atas Real Valladolid di tempat sendiri untuk mengukuhkan cengkaman di puncak La Liga tetapi timbul keraguan kemampuan mereka memenangi trofi prestij Eropah itu.

Kemenangan kurang bermaya ke atas Valladolid menyaksikan Messi menjaringkan penalti dan terlepas satu lagi. Sebelum itu mereka seri tanpa jaringan menentang Athletic Bilbao, seri 2-2 menentang Valencia dan 1-1 menentang Real Madrid dalam aksi pertama separuh akhir Copa del Rey.

Bagaimanapun, jurulatih Valverde enggan tertekan dengan prestasi menurun skuadnya itu sejak akhir-akhir ini.

"Tidak semestinya anda cemerlang dalam setiap perlawanan tetapi saya fikir pasukan saya sedia beraksi pada tahap terbaik,” katanya.

Pertahanan Gerard Pique pula bimbang dengan prestasi Barca dan memberi amaran mereka boleh tersingkir jika gagal memulihkan persembahan hambar.

"Kami bukan Barca yang kami mahukan, keputusan bagus tetapi tidak sensasi,” katanya.

"Kami perlu perbaiki prestasi pada Selasa ini atau kami akan sengsara. Jika kami tidak menggerakkan bola dengan pantas, dominasi permainan dan mencipta peluang, kami akan menjadi lemah.”

Barca tersingkir pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara setiap tahun sejak menjuarainya pada 2015 termasuk kekalahan memalukan di tangan AS Roma musim lalu walaupun menang 4-1 dalam aksi peringkat pertama.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 10:51am
d