arena

Abi jagoan dunia masa depan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PERSATUAN Meluncur Ais Selangor optimis peluncur ais cilik negara, C Sree Abiraame berbakat besar dan mampu digilap menjadi juara dunia.

Presidennya, Mohamad Fadzli Johan berkata, sehubungan itu pihaknya memberi sokongan penuh kepada Sree Abiraame atau lebih dikenali sebagai Abi untuk terus cemerlang dalam sukan luncur ais.

"Dia mempunyai semangat dan kemahuan tinggi dan perlu digilap. Kalau di Korea Selatan, atlet Yuna Kim pun bermula dari usia tujuh tahun dan dibimbing serta digilap sehingga menjadi juara dunia dan pemegang pingat emas Sukan Olimpik.

"Kami amat berharap supaya pemegang taruh sukan perlu melihat permata baru yang belum 'tercemar' dengan kemasyuran ini agar dipimpin ke jalan yang tepat. "Kita perlu merancang pembabitannya dengan strategik agar dia mampu menjadi atlet Malaysia yang akan menyumbangkan pingat emas Olimpik yang pertama," katanya kepada Arena Metro.

Beliau berkata demikian mengulas kejayaan Sree Abiraame yang mengharumkan nama negara apabila meraih lima pingat emas di Kejohanan Luncur Ais Antarabangsa Abu Dhabi ke-4 yang berlangsung di Bandar Sukan Zayed, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kelmarin. Sebelum ini pada kejohanan Skate Asia 2018 di ShenZhen, China atlet ini turut cemerlang apabila menggondol empat pingat emas di kejohanan itu.

Mohamad Fadzli berkata, ketika ini beliau difahamkan sememangnya perbelanjaan atlet terbabit ditanggung sepenuhnya keluarganya dan pihaknya akan berusaha untuk memberi bantuan sewajarnya.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 12:31pm
d