arena

Safee angkat kaki

Oleh Syazwan Msar

SEGALA teka teki pemain pertama yang akan ‘cabut’ meninggalkan pasukan Perlis akhirnya terjawab apabila penyerang sensasi mereka Safee Sali mengesahkan tidak lagi meneruskan khidmat bersama Singa Utara.

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim itu dikhabarkan sudah disambar pasukan Liga Super yang berpangkalan di Lembah Klang dan keputusan yang diambil itu demi masa depannya apabila melihat Singa Utara semakin hilang arah.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Safee ketika ditemui pada sesi latihan bersama Perlis di Universiti Malaya (UM) hari ini, apabila dia mengucapkan salam terakhir kepada pemain Singa Utara sebelum meninggalkan pasukan berkenaan.

Katanya, keputusan tekad meninggalkan Perlis diambil selepas berbincang dengan ahli keluarga bagi menentukan hala tuju masa depannya apabila mengalami masalah tunggakan gaji sebelum ini.

“Setakat ini saya tidak mahu mengumumkan pasukan mana yang akan diwakili namun ia berpangkalan di Lembah Klang dan keputusan itu dilakukan demi masa depan saya.

“Saya tidak boleh buat sebarang penjelasan secara terperinci namun apa yang boleh sahkan akan bermain untuk pasukan lain sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain berakhir,” katanya, ketika ditemui selepas tamat sesi latihan pasukan Perlis di UM, hari ini.

Perlis dihimpit pelbagai isu apabila gagal menyelesaikan tunggakan gaji hingga timbul pelbagai spekulasi bahawa pemain mereka bakal angkat kaki.

Bekas penyerang kebangsaan itu turut mengakui menerima lebih lima tawaran termasuklah daripada pasukan ternama selepas mengetahui dia menghadapi masalah tunggakan gaji.

“Saya boleh katakan Safee masih lagi laku apabila ada banyak pihak termasuklah pasukan Selangor, PJ City, Kelantan dan UiTM yang menyatakan minat serta kesediaan untuk mengambil saya.

“Namun, saya perlulah menghormati kontrak ketika bersama Perlis dan tidak boleh mengambil sebarang keputusan terburu-buru,”katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 7:15pm
d