arena

Dengar 'The Beatles' baru lawan Liverpool...

Oleh DM/EJ

BAYERN Munich bagai sudah mengetahui bakal berdepan malam sukar seperti lagu kumpulan The Beatles 'A Hard Day's Night' menjelang pertembungan menentang Liverpool pada Liga Juara-Juara (UCL), Rabu ini.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang gergasi Jerman itu daripada menjadikan lagu-lagu kumpulan terbabit sebagai inspirasi menjelang perlawanan pertama peringkat kalah mati 16 pasukan terakhir pada saingan berprestij kelab Eropah itu.

Kelab Jerman itu meniru gaya salah satu eksport Merseyside paling berjaya dalam sejarah Britain, The Beatles.

Mereka menggunakan imej lucu ikon kulit album Abbey Road ketika mengirim foto di akaun Instagram 'Yesterday' mereka.

Empat pemain iaitu Mats Hummels, Thomas Muller, Robert Lewandowski dan Manuel Neuer tampil dengan gaya rambut 60-an atau ‘Sixties style’ melintas di garisan belang ketika berada di padang latihan mereka.

Apapun, ia berupa penghargaan khususnya kepada kulit album The Beatles 1969 yang masyhur itu di serata dunia.

Kelibat John Lennon, Paul McCartney, Ringo Starr dan George Harrison menyeberang garisan belang di luar studio Abbey Road di London sehingga kini masih diingati dalam kalangan peminat, penggemar dan pemuzik Britpop.

Kelab Bundesliga itu melabelkan diri mereka 'The Bayerns: Come Together' pada akaun laman sosial mereka yang mendapat lebih 250,000 likes di Instagram dan banyak komen memberi sokongan.

Apapun, nantikan perlawanan The Reds dikendali Jurgen Klopp melayan kunjungan Bayern Munich di Anfield jam 4 pagi waktu Malaysia.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 9:51pm
d