arena

Jangan main macam kerbau keluar kandang - Vikneswaran

Oleh Malik Muhamad

KETUA jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), I Vikneswaran menuntut anak buahnya ‘menjaga’ maruah pasukan dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini yang bakal melabuhkan tirainya 22 Februari ini.

Ini susulan THT yang dilabel pasukan ‘gergasi’ tanah air selepas merekod kejuaraan antara yang terbanyak dalam MHL dan Piala TNB kini bergelut untuk berada sekurang-kurangnya pada kedudukan ketiga terbaik liga musim ini.

Justeru, bekas pemain kebangsaan itu menggesa anak buahnya supaya tidak mengambil mudah baki dua perlawanan liga bertemu UiTM pada Rabu ini dan terakhir menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jumaat ini.

“Peluang untuk menjuarai liga dan menghuni tempat kedua sudah tertutup, kini yang penting kita harus memenangi aksi itu dalam baki dua perlawanan lagi dan bermain mengikut perancangan yang diatur.

“Ini yang penting, jangan main macam kerbau keluar kandang, disiplin ketika bermain juga begitu penting, jika tidak ada disiplin sukar bagi pasukan untuk mencatat kemenangan sebagaimana ketika tumpas kepada pasukan TNB Thunderbolts 1-2.

“Saya tuntut pemain beraksi bersungguh-sungguh biarpun gagal mempertahankan kejuaraan liga, yang penting pemain harus bermain untuk maruah pasukan dan bukannya untuk suka-suka,” kata Vikneswaran.

Skuad THT kini berada di kedudukan ketiga liga dengan mengutip 19 mata hasil 10 perlawanan, manakala pasukan di tangga keempat, Maybank yang kini mengumpul 15 mata hasil daripada 10 perlawanan berpeluang memintas THT.

Pendahulu liga Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kini gah dengan mengutip 28 mata hasil 10 perlawanan, manakala TNB pula berada di tangga kedua dengan kutipan 27 mata hasil sebelas perlawanan.

Musim ini, skuad The Turtles itu merantai enam pemain import iaitu pemain Korea Selatan, Jan Jong Hyun dan Jun Man Jae, Ahmad Shakeel But (Pakistan), Pablo Travisan dan Gonzalo Merino (Argentina) serta Daniel Kyriakides dari Wales.

“Kami harap dua perlawanan terakhir ini bakal memihak kepada kami untuk berada sekurang-kurangnya di tempat ketiga liga dan pemain harus membuktikannya,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 10:46pm
d