arena

Roma makin hampir genggam tiket Liga Juara-Juara

Oleh AFP

PEMAIN pertahanan Aleksandar Kolarov dan Federico Fazio meledak gol di babak kedua ketika menewaskan Bologna 2-1, awal pagi tadi sekali gus meletakkan Roma menghampiri slot kelayakan Liga Juara-Juara.

Eusebio di Francesco yang meraih kemenangan dalam saingan kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara ke atas Porto minggu lalu mengukuhkan kedudukan di tangga kelima dan kini hanya satu mata di belakang AC Milan yang berada di tangga keempat.

“Kami tidak boleh ketinggalan hari ini. Kami gembira mendapat tiga mata, tetapi persembahan sedikit goyah,” kata Di Francesco.

Juara bertahan Serie A Juventus mendahului selesa dengan 13 mata mengatasi pesaing terdekat Napoli yang seri tanpa jaringan menentang Torino, manakala Inter Milan di tangga ketiga, tujuh mata di belakang Napoli.

Bintang muda Roma Nicolo Zaniolo  yang meledak dua gol ketika menentang Porto bergelut di bahagian sayap dengan Stephan El Shaarawy dimasukkan selepas rehat dan 10 minit kemudian mendapatkan penalti yang disempurnakan Kolarov.

Ia adalah gol ketujuh musim ini buat pertahanan Serbia, Kolarov, melebihi mana-mana pertahanan dalam liga tertinggi Eropah.

Kapten Danile De Rossi dimasukkan pada minit ke-68 dengan Fazio menambah jaringan pada minit ke-73.

Roma melebarkan deretan tanpa kalah mereka kepada tujuh perlawanan liga, manakala Bologna yang menewaskan mereka 2-0 di awal kempen hanya dua mata di atas garis penyingkiran.  

 

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 8:24am
d