arena

Thanabalan tidak kecil hati

Oleh Izzali Ismail

PENYERANG sensasi Kedah, N Thanabalan tidak berkecil hati sekalipun tidak membarisi kesebelasan utama dalam tiga aksi Liga Super sebelum ini.

Malah pemain berusia 24 tahun itu turut meluahkan rasa gembira beraksi bersama Kedah yang disifatkan mampu meningkatkan prestasinya di Liga Malaysia musim ini.

"Saya gembira bersama Kedah. Walaupun hanya beraksi 15 minit bertemu Perak, tetap memberi saya motivasi untuk melonjakkan mutu permainan."

"Saya tidak kecil hati walaupun tidak berada dalam kesebelasan utama sebelum ini, saya yakin peluang akan sampai juga kerana perjalanan liga masih jauh."

Thanabalan berpendapat Kedah memiliki mentaliti yang mampu 'pergi jauh' dan bersedia ke hadapan berdasarkan sikap semua pemain, jurulatih dan pengurusan yang positif dan memiliki suasana harmoni.

"Berhadapan PJ City pada Jumaat ini, saya jangka Kedah bakal mendapat tentangan sengit kerana PJ City memiliki import baharu yang bagus dan merupakan pasukan yang rajin, berdisiplin serta memiliki tahap kecergasan tinggi serta tak mudah mengalah."

"Namun saya yakin dengan persiapan diatur jurulatih Aidil Sharin, Kedah mampu mengukuhkan kedudukan di carta Liga Super."

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 12:09pm
d