arena

Aksi Juve-Atletico ibarat final

Oleh AFP

MASSIMILIANO Allegri memberitahu Juventus supaya tidak gentar dengan Atletico Madrid tetapi bagi salah satu daripada dua pasukan itu, perkara paling mereka takuti dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini bakal menjadi realiti.

Tersingkir daripada saingan 16 terbaik pasti sukar diterima buat dua kelab yang menjadi pasukan pilihan ketika undian peringkat kalah mati pada Disember lalu.

“Mereka yang bercita-cita tinggi tidak akan gentar,” kata Allegri selepas pasukannya diundi bertemu Atletico dengan aksi pertama berlangsung di Wanda Metropolitano pada awal pagi Khamis.

“Kami perlu waspada dengan Atletico. Kami perlu mencari masa yang sesuai untuk menjaringkan gol.

“Penting untuk kami mendapatkan gol di sana, jika tidak pasti sukar untuk layak.”

Juventus dan Atletico mara ke 12 final Kejuaraan Eropah dengan perlawanan musim lalu di Kiev buat kali pertama dalam tempoh lima tahun tidak ada wakil kedua-dua pasukan ini.

Atletico bagaimanapun menjuarai Liga Europa, membuktikan mereka terlalu kuat untuk kejohanan kedua tertinggi Eropah itu, manakala Juventus disingkirkan juara tahun lalu, Real Madrid hasil jaringan penalti kontroversi Cristiano Ronaldo pada minit ke-98.

Sementara itu pengendali Atletico, Diego Simeone menganggap perebutan tiket ke suku akhir ini ibarat final.

“Ia ibarat final, kami tidak boleh tersalah langkah,” kata Simeone.

"Sudah tentu kami mendapat inspirasi beraksi di final, di bandar kami dan di hadapan penonton sendiri.”

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 1:18pm
d