arena

Lupakan segera kekalahan!

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil tidak mahu kekalahan besar 0-4 kepada Kedah Sabtu lalu, memberi kesan terhadap persembahan skuadnya pada perlawanan berikutnya. 

Justeru, bekas pemain kebangsaan itu berkata, anak buahnya perlu berubah sikap dan kembali membentuk keyakinan tinggi untuk mengharungi saingan Liga Super musim ini. 

"Saya akui tidak jangka Kedah bermain dengan begitu baik sehingga langsung tidak memberi ruang kepada The Fighters untuk melakukan asakan. 

"Tuan rumah jelas menguasai perlawanan dan kita tidak dapat bertindak balas yang menyaksikan empat gol dibolosi selepas mempamerkan persembahan menyakinkan dalam dua perlawanan sebelumnya. 

"Oleh itu, saya mengharapkan pemain dapat melupakan kekalahan ini segera kerana kami akan bertemu juara Piala Malaysia, Perak Sabtu ini," katanya. 

Mengulas ketumpulan jentera serangan selepas tiga perlawanan, Mohd Nidzam mengakui berusaha memperkasakan barisan hadapan kelab itu. 

Katanya, kecederaan dialami penyerang import, Jaycee John juga membataskan pergerakan di bahagian serangan ketika menentang Lang Merah. 

"Oleh itu, saya harap pemain Nigeria ini akan pulih dan kembali beraksi bertemu Perak," katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 1:30pm
d