arena

Liverpool belum kalah: Klopp

Oleh AFP

JUERGEN Klopp menegaskan Liverpool masih berpeluang layak ke suku akhir Liga Juara-Juara sekalipun seri tanpa jaringan dengan Bayern Munich, awal pagi tadi.

Anak buah Klopp dikecewakan dengan persembahan berdisiplin Bayern pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir di Anfield.

Reds yang biasa menjaringkan banyak gol kini berdepan tugas getir bagi aksi kedua di Arena Allianz pada 13 Mac depan.

Juara Bundesliga, Bayern hanya kalah dua kali daripada 26 perlawanan terakhir Liga Juara-Juara di laman sendiri, menang 22 daripadanya.

Namun bos Liverpool, Klopp yakin pasukannya tidak perlu gentar di Jerman.

“Apa yang positif sudah tentu keputusan ini ok, keputusan seri terbaik yang boleh kami raih. Ya, kami boleh bermain lebih baik, kami patut beraksi lebih bagus,” ujar Klopp.

“Perlawanan ini belum berakhir lagi. Kami perlu mencipta asas malam ini yang boleh digunakan bagi aksi kedua.

“Ia satu perlawanan besar. Kami mempunyai peluang yang lebih bagus. Ia bukannya keputusan yang saya impikan tapi ia tetap bagus. Kami boleh menanganinya.”

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 7:54am
d