arena

Bayern hati-hati aksi kedua

Oleh Reuters

BAYERN Munich dan Liverpool mungkin dua kelab negara berbeza namun dua pengendali Niko Kovac dan Juergen Klopp bagaikan memahami antara satu sama lain.

Apa tidaknya, Klopp memulakan kariernya sebagai pengurus di Bundesliga manakala Kovac menghabiskan hampir sepanjang kariernya beraksi di kelab negara itu.

Justeru, aksi kedua, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Arena Allianz, Munich pada 13 Mac depan menjanjikan aksi menarik namun berhati-hati daripada kedua-dua pasukan selepas seri 0-0 di Anfield, awal pagi tadi.

Klopp seringkali berdepan Bayern ketika mengendalikan Borussia Dortmund sebelum ini. Beliau mengetahui lawannya luar dan dalam.

Bos Bayern, Kovac sudah faham dengan pendekatan Klopp dan bahaya dibelasah jika mengamalkan konsep permainan lebih terbuka.

“Saya tidak ingat kelab yang tidak kalah dan tidak dibolosi di Anfield, mereka memang pasukan yang bagus,” ujar pengendali dari Croatia itu.

“Pasukan saya di benteng dan secara keseluruhan bertahan dengan baik dan bermain pada tahap tinggi, sama ada secara taktikal atau mental. Kami tidak menjaringkan gol tapi kami juga tidak melepaskan gol.

“Kini kami akan bermain di laman sendiri, ia satu kelebihan dan kami bermain di depan 75,000 penonton. Kami sedar, jika kami dibolosi, kami perlu menang. Pada tahap ini, perbezaan kecil mampu menjadi pemisah jadi kami kena tunggu dan lihat.

“Saya orang terakhir untuk mula meraikannya. Kami perlu merendah diri, fokus dan memberikan 100 peratus pada perlawanan berikutnya,” jelas Kovac.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 9:53am
d