arena

Kos tak cecah RM1,500

Oleh Firdaus Hashim

KOS pembuatan Kasut Emas yang dianugerahkan kepada penjaring terbanyak Liga Malaysia (Liga M) tidak sampai RM1,500 berbanding RM30,000 bagi menghasilkan plak berkualiti dan berprestij.

Ia didedahkan oleh bekas pegawai bola sepak yang sebelum ini bertanggungjawab penuh dalam menguruskan anugerah berprestij itu.

Katanya, ramai pihak terutama penyokong bola sepak tempatan percaya Kasut Emas itu dibuat daripada emas atau disadurkan dengan emas, tetapi sebenarnya ia hanya but biasa yang disembur cat emas.

“Mesti ramai yang ingat Kasut Emas adalah emas tulen. Tapi sebenarnya itu semua wayang kerana sejak penganjuran ABK (Anugerah Bola Sepak Kebangsaan), semuanya adalah but bola yang disembur cat emas saja.

“Saya adalah antara pegawai yang ditugaskan untuk menguruskan mengenai anugerah itu sebelum ini. Biasanya setiap anugerah akan ditaja oleh syarikat berkaitan sukan dan untuk anugerah itu, sebuah syarikat terkenal penaja bagi anugerah itu.

“Malangnya, ia bukanlah sebuah plak yang bersadur emas tapi ia hanya but dalam stor yang dipilih sebelum dicat dengan warna emas. Biasanya mereka akan ambil kasut saiz sembilan. Kemudian kasut itu akan diletakkan dalam plastik lut sinar murah berbentuk empat segi yang kemudiannya diserahkan kepada pemenang.

“Terus terang memang agak memalukan kerana ia tidak menggambarkan prestijnya anugerah itu, sedangkan anugerah sama di luar negara jauh lebih baik dengan menggunakan material berkualiti tinggi,” katanya kepada Arena Metro.

Anugerah Kasut Emas dalam Liga M mula diperkenalkan pada 2004 dengan pemenang pertama milik bekas penyerang Perak, Indra Putra Mahayuddin.

Jelas pegawai itu lagi, berdasarkan pengalaman ketika menguruskan Faiz Subri sebagai pemenang PUSKAS FIFA dua tahun lalu,

Trofi yang dimenangi pemain kelahiran Kedah itu sangat mahal dengan menggunakan bahan material bermutu tinggi.

“ABK adalah malam yang dikatakan cukup gah dan prestij kerana ia mengiktiraf sumbangan pemain dan pasukan yang berjuang selama semusim.

“Bayangkan pemain dan jurulatih yang dijemput diwajibkan memakai pakaian formal, ala-ala anugerah bola sepak dunia yang sering dianjurkan FIFA,” katanya.

Beliau berkata, hakikatnya anugerah itu hanya indah khabar dari rupa dan tidak segah yang diucapkan.

“Saya ingat lagi, ketika menguruskan video dan gambar Faiz untuk dihantar ke FIFA, saya melihat sendiri bahan trofi PUSKAS dimenangi Faiz amat bernilai. Walaupun tidak bersalut emas, beratnya saja menggambarkan betapa mereka cukup menjaga prestij acara berkenaan,” katanya.

“Pernah suatu ketika, penganjur mahu syarikat yang buat trofi Liga Super buat juga untuk anugerah kasut emas. Tapi apabila melihat kepada harganya hingga RM30,000 akhirnya pihak itu batalkan hasrat dan modal trofi itu sebenarnya tak sampai RM1,500 pun,” katanya.

Berita berkaitan:

Malu nak tayang...' [METROTV]

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 11:38am
d