arena

Sevilla singkir Lazio

Oleh Reuters

JUARA Liga Europa lima kali Sevilla mara ke pusingan 16 terakhir pertandingan itu dengan kemenangan 2-0 di laman sendiri ke atas Lazio awal pagi tadi menerusi gol pada setiap babak untuk layak 3-0 secara agregat ketika kedua-dua pasukan berakhir dengan 10 pemain.

Penyerang Perancis, Wissam Ben Yedder, penjaring gol tunggal kelab Sepanyol itu ketika menang 1-0 di Rome minggu lalu, memberikan Sevilla kelebihan dua gol selepas 20 minit apabila menampan masuk bola muntah selepas penjaga gol Thomas Strakosha menumbuk keluar percubaan Franco Vazquez.

Lazio memerlukan dua gol untuk kekal bersaing di Seville dan mereka terlepas peluang keemasan untuk bangkit pada awal babak kedua apabila pertahanan Francesco Acerbi menyelinap masuk ke dalam kotak penalti lawan namun dihalang penjaga gol Sevilla, Tomas Vaclik.

Harapan kelab Itali itu untuk bangkit cerah apabila pemain tengah Sevilla, Vazquez dibuang padang susulan kad kuning kedua dengan berbaki setengah jam namun bekas penyerang Sevilla, Ciro Immobile merembat melepasi palang.

Bagaimanapun anak buah Simone Inzaghi tidak mempunyai kelebihan 11 minit kemudian apabila Adam Marusic dilayangkan terus kad merah kerana menyepak muka Roque Mesa.

Pemain tengah Sevilla, Pablo Sarabia menamatkan terus cabaran lawan dengan gol menarik pada minit ke-78, bermain satu dua dengan Jesus Navas di sayap kanan sebelum meluru ke dalam kotak penalti dan merembat masuk.

Kemenangan itu mengendurkan tekanan buat jurulatih Sevilla, Pablo Machin selepas kekalahan 0-3 di Villarreal dalam aksi La Liga, Ahad lalu dan mampu menguatkan semangat mereka menjelang pertemuan dengan pendahulu liga Barcelona, Sabtu ini.

Lazio mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam semua pertandingan.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 8:20am
d