arena

Di Maria, Mbappe bantu PSG pesta gol

Oleh AFP

ANGEL Di Maria meledak menerusi sepakan percuma menarik manakala Kylian Mbappe turut menyumbang gol ketika Paris Saint-Germain meneruskan langkah terbaik untuk memenangi satu lagi kejuaraan Perancis dengan membelasah Montpellier 5-1, awal pagi tadi.

Ketika Neymar dan Edinson Cavani masih tidak bermain, Layvin Kurzawa turut menjaringkan gol buat PSG di Parc des Princes, manakala dua gol sendiri melengkapkan kemenangan besar itu.

Florent Mollet menyamakan kedudukan pada babak pertama buat pelawat sebelum mereka tersungkur pada perlawanan yang dijadual semula selepas ditangguh pada awal Disember lalu susulan protes anti kerajaan di Perancis.

Ketika mereka memanaskan badan bagi aksi pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Manchester United pada 6 Mac depan, PSG kini 15 mata di depan pasukan tangga kedua Lille.

“Semuanya hasil kesabaran dan kualiti serta sedikit tuah,” kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel selepas pasukannya mengekalkan rekod sempurna di laman sendiri bagi aksi liga musim ini.

Ia juga kemenangan kesembilan mereka dengan jurang sekurang-kurangnya empat gol dalam kempen semasa.

“Ia bukan persembahan terbaik kami, tapi dengan kualiti serangan kami berhak menang,” ujar Tuchel.

Beliau terlepas khidmat beberapa tonggak utama pada perlawanan itu dengan kapten Thiago Silva digantung perlawanan.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 10:36am
d