arena

Rumah Mane kena pecah masuk lagi

Oleh Agensi

RUMAH penyerang Liverpool, Sadio Mane dipecah masuk ketika dia bermain pada aksi pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, awal pagi semalam.

Barangan termasuk jam tangan, telefon bimbit dan kunci kereta dicuri.

Insiden berlaku di rumah Mane di Allerton, selatan Liverpool antara jam 6 petang hingga 11.45 malam ketika pemain berusia 26 tahun itu beraksi di Anfield. Tiada sesiapa di rumah ketika kejadian itu.

Inspektor penyiasat Phil Mahon dari Polis Merseyside berkata: “Kami merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kecurian ini untuk tampil dan membantu siasatan.

“Ketika pemilik rumah tidak berada di tempat kejadian ia jelas satu pengalaman pahit buat mereka dan saya meminta pencuri melakukan perkara yang betul dan mengembalikan barangan yang dicuri kepada pemilik dengan apa cara sekalipun.

“Kami tahu jam tangan terutamanya amat bernilai dan saya merayu kepada sesiapa yang mungkin ditawarkan barangan untuk dijual sejak kejadian itu supaya menghubungi polis.”

Rumah pemain kebangsaan Senegal, Mane dipecah masuk pada November 2017 ketika dia berada di Anfield bagi aksi Liga Juara-Juara menentang Maribor.

Kumpulan pencuri itu difahamkan memecah masuk rumahnya dahulu sebelum memecah pintu rumah rakan sepasukan Dejan Lovren dan melarikan diri apabila seorang wanita menjerit dia menelefon polis.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 10:55am
d