arena

Tak setimpal penat lelah

Oleh Malik Muhamad

SELEPAS bekas penyerang kebangsaan, Mohd Nizaruddin Yusof mendedahkan Kasut Emas yang diterimanya tidak berkualiti atau ‘cap ayam’ sebagaimana yang siarkan dalam akhbar Harian Metro semalam, seorang lagi bekas penerima anugerah sama tampil mengiyakan.

Walaupun pada awalnya enggan meluahkan kekecewaannya kerana mahu menjaga nama baik pihak yang memberikan anugerah berkenaan, Mohamad Ashari Samsudin, 34, akhirnya bersetuju untuk berkongsi rasa.

Bagi Ashari atau lebih dikenali sebagai ‘Saha’, dia merasakan pengorbanan serta penat lelah pemenang anugerah berkenaan bagaikan tidak dihargai dengan sewajarnya biar pun mereka sentiasa berdepan risiko kecederaan.

Bagi Ashari yang menerima anugerah Kasut Emas buat kali pertama dalam kariernya selepas muncul penjaring terbanyak Liga Super pada 2010 dengan meledak 18 gol ketika menyarung jersi Terengganu, dianggap tidak setimpal kerana hadiah yang diterimanya itu tidak berkualiti.

“Sebelum menerimanya, saya gembira kerana bukan mudah untuk bergelar penjaring terbanyak. Saya terbayang hadiah itu nanti pasti berkualiti atau sekurang-kurang ada sedikit saduran emas, apatah lagi nama pun anugerah Kasut Emas yang boleh dijadikan kenangan kepada saya dan keluarga.

“Namun, selepas menerima dan menelitinya, saya terkilan kerana ia tidak berkualiti dan tidak bernilai sebagaimana nama anugerah itu yang gah.

“Malah, kasut sebelah kanan yang diterima itu juga terlalu besar dan warna keemasan kasut itu kini semakin lokoh (pudar) hanya selepas sembilan tahun kerana ia hanya disembur dengan cat berwarna emas.

“Terdetik di hati saya, nilai kasut itu tidak seberapa, ibaratnya kita beli kasut dan kemudian disembur dengan warna emas sebelum diberikan kepada pemenang, bagi saya ia tidak berbaloi,” kata Ashari yang pernah membantu negara menjulang Piala AFF pada 2010.

Berdasarkan rekod, pemain berasal dari Bukit Payong, Marang itu merekod 84 gol sepanjang 251 penampilannya dalam Liga- M selain tiga gol ketika mewakili pasukan kebangsaan.

Mengulas lanjut, pemain itu berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat memikirkan semula nilai dan kualiti Kasut Emas yang bakal diberikan kepada pemenang.

Katanya, dia juga berbesar hati dan bersyukur jika badan induk bola sepak negara itu dapat menukarkan semula kasut yang diterimanya itu dengan kasut yang lebih berkualiti setanding dengan pencapaian seseorang pemain.

“Setiap pemain terutama penyerang sudah pasti mengidam untuk memenangi anugerah itu apatah lagi untuk dijadikan kenangan. Justeru, FAM harus fikirkan semula dan saya harap ia tidak berlaku lagi kepada pemain lain,” katanya.

Berita berkaitan

Malu nak tayang...' [METROTV]

Kos tak cecah RM1,500

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 11:04am
d