arena

City kena meningkat: Guardiola

Oleh Reuters

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola tidak gembira selepas pasukannya yang beraksi 10 pemain meraih kemenangan lewat 3-2 ke atas Schalke 04 pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

City meledak dua gol dalam tempoh empat minit terakhir untuk mengubah keputusan perlawanan selepas mendahului 1-0 tetapi kemudian dibolosi dua sepakan penalti dalam tempoh tujuh minit.

“Ia keputusan yang hebat. Kami menghadiahkan penalti pertama, kemudian kami memberi penalti kedua, kami menerima kad merah, jadi ia tidak bagus,” kata Guardiola kepada wartawan.

“Jadi kami masih belum sedia untuk berjuang bagi peringkat akhir pertandingan ini. Itulah realitinya. Kami beraksi dengan baik tapi kami mudah kehilangan bola, sesuatu yang tidak boleh dibiarkan dalam pertandingan ini. Selepas itu kami beri dua penalti.”

City kelihatan menguasai apabila Sergio Aguero meletakkan mereka di depan pada minit ke-18 namun pada hujung babak pertama ketinggalan 1-2 selepas menghadiahkan lawan dua penalti, kedua-duanya disempurnakan oleh Nabil Bentaleb.

Anak buah Guardiola terpaksa bertungkus-lumus pada hujung untuk menjaringkan dua gol menerusi sepakan percuma mengagumkan Leroy Sane pada minit ke-86 dan gol kemenangan Raheem Sterling empat minit kemudian.

“Ia seperti musim lalu di Anfield (menentang Liverpool apabila kami kalah 0-3. Kami memberikan dua gol ketika mereka (Schalke) tidak melakukan apa-apa... Perlawanan ini agak baik pada hujungnya dengan kualiti dimiliki Leroy. Pemain ternama memberikan anda kemenangan dalam perlawanan sebegini.”

Rekod City dalam Liga Juara-Juara tidak sebagus kejayaan terabru mereka dalam Liga Perdana Inggeris, seleaps hanya layak ke separuh akhir sekali pada kempen 2015-16.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 11:23am
d